Saturday, August 11, 2012

Sekolah Agama Kerajaan Johor


Sejarah Pendidikan Agama Johor 
Sekolah Agama Kerajaan Johor merupakan sekolah-sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh Kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor. 

Sekolah Agama Kerajaan Johor diwujudkan atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak Islam di negeri Johor dengan menggunakan perantaraan Bahasa Melayu secara percuma bagi memastikan kanak-kanak Islam di Johor mendapat pendidikan agama yang teratur, sempurna dan dikawal oleh pihak pemerintah. 

Kerajaan Negeri Johor terbabit secara langsung dalam sistem pendidikan agama sejak 1895 lagi apabila Sultan Abu Bakar mewujudkan perlembagaan bertulis bagi negeri ini. Sejak daripada tarikh itu, Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar terus menunjukkan keprihatinan yang mendalam berhubung pendidikan agama. Hasil keprihatinan ini, masyarakat Islam negeri Johor meraih manfaat yang besar sehinggalah amalan menghantar anak untuk mengikuti pengajian agama sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Johor.
Sekolah Agama Bandar Baru Uda, Johor Bahru
Apa yang membezakan sekolah-sekolah agama di Johor dengan negeri-negeri lain ialah Kerajaan Negeri Johor sejak awal lagi telah secara agresif mengambil alih sekolah-sekolah ini, manakala di negeri lain sekolah agama dibiarkan berkembang dengan sendiri. Sekolah-sekolah agama persendirian ini ternyata kemudiannya mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam sistem politik dan sosial di negeri-negeri berkenaan.

Kini, Sekolah Agama Johor telah diterima oleh masyarakat Islam Johor sebagai satu keperluan walaupun di masa yang sama anak-anak mereka mendapat pendidikan agama menerusi matapelajaran pendidikan Islam yang diajar di Sekolah Rendah dan Menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Sehingga tahun 2002 jumlah murid ialah 212,030 orang yang melibatkan 3,168 orang guru. 

Latar Belakang Sejarah Pendidikan Agama
1918 - Sejarah pendidikan bermula dengan nama Sekolah Al-Quran. Tumpuan hanya kepada pembelajaran Al-Quran.
1920 - Nama Sekolah Al-Quran ditukar kepada Sekolah Kitab dengan penambahan matapelajaran Al-Quran, Tauhid, Ibadat dan Tasauf.
1923 - Nama Sekolah Kitab ditukar kepada Sekolah Agama Petang dengan penambahan matapelajaran Muamalat, Munakahat, Faraid, Jenayah, Akhlak, Tarikh, Tulisan Jawi dan Bahasa Arab.
1923 - Kelas ' Darjah Khas ' diwujudkan sebagai satu - satunya lanjutan Sekolah Agama Petang.
1960 - Maahad Johor ditubuhkan sebagai pusat pengajian IV Thanawi di negeri Johor.
1965 - Nama Sekolah Agama Petang ditukarkan kepada Sekolah Agama Kerajaan Johor.
1988 - Penubuhan sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang (SMAKJ)
1994 - Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA)
1997 - Penubuhan Institut Pengajian Tinggi Islam dan Bahasa Arab iaitu MARSAH
1998 - Pelarasan umur 7 tahun bagi kemasukan murid ke Sekolah Agama Kerajaan Johor
1999 - Pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Bersepadu ( SRAB )
2001 - Penubuhan Tadika Agama Johor (TAJ)
Objektif
  • Mengenal, mempelajari, memahami, dan menghayati asas-asas aqidah dan ibadah serta sentiasa bersyukur kepada Allah. 
  • Dapat membaca Al-Quran dengan baik dan bertajwid serta dapat memahami dan menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya di samping boleh menghafaz surah-surah pilihan. 
  • Membentuk peribadi mulia, berfikiran positif, berdaya kreatif, produktif serta sentiasa berdaya tahan dan berdaya maju. 
  • Dapat memupuk kemahiran menulis dan membaca jawi serta dapat mempertahankannya. 
  • Mempelajari, memahami dan memupuk kemahiran berbahasa Arab sama ada secara lisan dan tulisan. 
  • Dapat melakukan dan menghayati amalan-amalan fardhu ain, fardhu kifayah dan sunat dengan baik menerusi pelajaran amali. 

Syarat-syarat kemasukan
  • Warganegara Malaysia
  • Beragama Islam
  • Berumur 7 tahun pada tahun berkenaan 
Kurikulum
Umumnya, murid-murid Sekolah Agama Johor adalah murid-murid yang berdaftar dan belajar di Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan. Sekolah Agama Johor pula berfungsi untuk menambah, melengkap dan memperkukuhkan lagi matapelajaran pendidikan Islam. Oleh itu, kurikulum yang disediakan oleh Sekolah Agama Johor hanya menumpukan kepada matapelajaran pendidikan agama sahaja. Tahap I ( Darjah I, II, III ) Tahap II ( Darjah IV, V, VI ) 
Ko-kurikulum
Kegiatan ko-kururikulum dijalankan secara berterusan sepanjang tahun di peringkat sekolah, zon, daerah dan negeri. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut : 
  • Perujian Tilawah Al-Quran murid-murid lelaki dan perempuan
  • Pertandingan syarahan Bahasa Arab
  • Pertandingan mentafsir ayat Al-Quran
  • Pertandingan membaca berzanji
  • Pertandingan tahfiz Al-Quran
  • Pertandingan tarhim, azan dan iqamah
  • Perujian seni khat. 



Struktur Pembelajaran 
* Hari persekolahan 5 hari seminggu 
* Masa pembelajaran: 7.30 - 12.00 tengahari (sesi pagi) 2.00 - 6.30 petang (sesi petang)
* Jam pertemuan: Tahap I - 1 jam 30 minit sehari Tahap II - 3 jam sehari
* Tempoh pembelajaran: 6 tahun
* Jumlah murid bagi setiap kelas: antara 20 - 39 orang.
* Kedudukan umur, darjah dan masa belajar. 

Halatuju Sekolah Agama Kerajaan Johor
  • Bagi yang lulus, mereka boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Darjah Khas Agama di samping meneruskan pengajiannya Sekolah Menengah Kebangsaan Kementerian Pendidikan 
  • Berpeluang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 1, Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Johor. 

Penutup
Oleh itu, banyak negeri-negeri lain yang tertarik untuk melaksanakan sistem pendidikan agama mereka sebagaimana yang diwujudkan di negeri Johor. 

Berdasarkan pandangan pelbagai pihak mengenai sistem pendidikan agama negeri Johor, jelas kepemimpinan negeri Johor sehingga hari ini berjaya mengekalkan satu sistem pendidikan agama yang lengkap.

Pendidikan Agama adalah salah satu khazanah keunikan negeri Johor yang diwarisi sejak turun temurun dan masih dipertahankan sehingga ke hari ini. Warisan ini masih diteruskan dan perkembangkan dari semasa ke semasa dari pelbagai aspek mengikuti keperluan wawasan negara. Kini, negeri Johor memiliki sistem pendidikan agama tersendiri yang berkesinambungan serta mempunyai arah tuju tersendiri apabila ia dimulakan daripada peringkat Tadika Agama Johor, Sekolah Agama, Sekolah Menengah Agama, dan juga Institusi Pengajian Tinggi Agama Johor.

Sumber:
Pejabat Pendidikan Agama Daerah
Jabatan Agama Johor
Pejabat Menteri Besar

3 comments:

  1. tkasih atas input, sekurang2nya ada info on sek agama johor ni.. tkasih byk

    ReplyDelete
  2. Sudah sampai masanya Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan pendidikan Agama Johor mempenalkan pelajaran Thfiz Al Quran di SRAB dan seterusnya menubuhkan Sekolah Menengah Agama Thfiz Al Quran di setiap daerah sebagaimana SM IMTIAZ di Negeri Terengganu.

    ReplyDelete
  3. Blhtak sy dapatkan buku buku sek agama ni...utk drjah 6dan khas

    ReplyDelete