Friday, April 28, 2017

KENYATAAN - Pertubuhan Mahasiswa Johor puji kerajaan negeri perkenal E-Learning Johor


[ KENYATAAN ]

Pertubuhan Mahasiswa Johor puji kerajaan negeri perkenal E-Learning Johor


1. Petang semalam, 27 April telah berlangsungnya Pelancaran E-Learning Johor 2017 oleh YAB Dato' Menteri Besar di Dewan Utama English College, Johor Bahru.

2. Ini adalah satu lagi Inisiatif secara bersama oleh agensi-agensi di Johor yang dicetus oleh Dato' MB, atau boleh dipanggil "Blue Ocean Strategy".

3. Inisiatif bersama ini di antara Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Kulim Berhad (anak syarikat JCorp), Yayasan Pasir Gudang (YPG) dan Yayasan Penyayang MPJBT.

4. Apa yang kami maklum, inisiatif Pembelajaran dalam talian ini ditawarkan kepada semua pelajar Johor iaitu calon-calon UPSR, PT3 dan SPM. Disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM10 ribu.

5. Dalam setiap pakej E-Learning (UPSR, PT3 dan SPM) tersebut menyediakan pembelajaran bagi empat subjek utama iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Pakej SPM disediakan mengikut aliran pilihan setiap pelajar samada Sains Tulen, Sains Akaun atau Akaun, dan terdapat subjek tambahan secara percuma iaitu Sejarah dan Geografi bagi Pakej PT3. E-Learning tersebut boleh dilayari dan didaftar melalui portal classruum.com

6. Menariknya, bukan sahaja inisiatif ini dilihat bersifat interaktif bagi membantu pelajar memperbaiki penguasaan subjek, malah ia disifatkan sebagai "Pendidikan Berkebajikan" untuk para ibu bapa, penjaga dan guru.

7. Kerana bagi mereka yang berminat ingin memanfaatkan inisiatif ini, hanyalah perlu membayar RM140.00 atau RM17.50 sebulan untuk tempoh bermula Mei hingga Disember 2017 ini.

8. Pada pandangan kami, ia suatu jumlah bayaran yang amat rendah dan amat berbaloi demi satu perkara yang amat bernilai, iaitu pendidikan anak-anak. Ini kerana sebahagian kos pakej-pakej tersebut ditaja melalui sumbangan dari pihak YPG dan YPMPJBT.

9. Maka, YAB Dato' MB dan kerajaan negeri harus dipuji kerana telah mencetuskan dan memperkenalkan satu lagi inisiatif yang sangat bermanfaat dan membantu rakyat Johor ini dari segi pembelajaran berlandaskan teknologi terkini.

10. Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri yang diterajui oleh YAB Dato' Mohamed Khaled Nordin amat menitikberatkan, malah meletakkan agenda pendidikan sebagai perkara utama yang diberikan tumpuan dalam membentuk Bangsa Johor yang terus BERKEMAJUAN. Syabas dan Tahniah ! Terima kasih Dato' MB.



NOR HASRUL AKHMAL NGADIMAN
Pengerusi
Pertubuhan Mahasiswa Johor
28 April 2017 

0 comments:

Post a Comment