LATAR BELAKANG

1.0 PENGENALAN 

Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) merupakan sebuah organisasi induk yang menggabungkan seluruh organisasi kemahasiswaan Johor di IPT seluruh negara yang telah dibentuk sejak tahun 1990-an. Pembentukannya adalah bertujuan bagi menghimpunkan seluruh organisasi mahasiswa Johor yang terdapat di IPTA dan IPTS seluruh negara untuk bersama di dalam satu entiti gabungan.

Gabungan awal telah dibentuk daripada 3 persatuan iaitu Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Johor (PERMAJ) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia. Persatuan-persatuan di universiti tersebut sering menganjurkan aktiviti bersama, sehingga tercetus idea mereka untuk mewujudkan suatu organisasi induk bagi melaksanakan objektif bersama mereka. Maka, terbentuklah jawatankuasa yang dikenali Gabungan Anak Johor (GAJ) IPTA.

Dari masa ke semasa, pergerakan ini sentiasa berkembang dan meluas sehingga wujud persatuan-persatuan baharu dari IPTA lain. Namun, sebahagian kecil IPTA berkenaan tidak membenarkan secara rasmi kewujudan persatuan anak negeri. Maka, gabungan ini telah disertai oleh hampir semua IPTA seluruh negara iaitu PERKASA Johor UPM, M@JOR UPSI, AMANAH UUM, SEJATI UTM, SOHOR UMT, ISKANDAR UMP, MAHAJJ UTHM, MAJU USIM, UMK dan UNIMAS. 

Bagi menjamin dan memastikan gabungan ini berupaya berperanan sebagai sebuah organisasi utama Mahasiswa Johor, pihak jawatankuasa pada 2013 telah berusaha untuk mendaftarkan entiti ini menjadi sebuah pertubuhan yang berdaftar dan sah, sama ada melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM atau ROS) mahupun Pendaftar Persatuan Belia KBS (ROY). Namun usaha tersebut tidak berjaya. Justeru, pada 2017 sekali lagi usaha pendaftaran telah dibuat dan usaha ini telah berjaya apabila JPPM pada April 2017 telah meluluskan pendaftaran organisasi ini dengan nama Pertubuhan Mahasiswa Johor dan Nombor Pendaftaran PPM-007-01-19042017, bertaraf Kebangsaan induk Bercawangan. 

2.0 TUJUAN / MATLAMAT 

2.1 Menjalin dan mengeratkan hubungan perpaduan dan permuafakatan dalam kalangan mahasiswa Johor dan alumni; 

2.2 Menghubungkan organisasi kemahasiswaan Johor yang terdapat di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta di dalam Malaysia dan di mana-mana kawasan daerah atau parlimen di dalam Negeri Johor;

2.3 Merencana dan menganjurkan aktiviti dan program ke arah pembangunan mahasiswa Johor dan membantu pembangunan taraf hidup masyarakat Johor khususnya; 

2.4 Memupuk semangat patriotisme terhadap negeri dan negara serta bersedia menyumbang khidmat bakti. 

2.5 Menjadi pengantara, penghubung dan membawa suara belia mahasiswa ke peringkat tertinggi melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Kerajaan Negeri Johor.

3.0 KEAHLIAN / KEANGGOTAAN

3.1 Keahlian; Mana-mana mahasiswa atau lepasan universiti/institusi (alumni) boleh memohon menjadi ahli melalui Borang Daftar Ahli

3.2 Keanggotaan persatuan di bawah PMJ; mana-mana persatuan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar di peringkat institusi pengajian masing-masing, boleh memohon untuk menjadi sebuah persatuan gabungan atau cawangan PMJ.